Friday, December 28, 2018

Chapter 7 - 9 : Ringkasan dan ulasan


BAB 7 : RADIO : Radio Terrestrial ke Arah Era Digital

Radio merupakan satu kaedah atau alat untuk menyampaikan maklumat dengan pantas tanpa perlu melalui banyak halangan. Radio merupakan satu cara perhubungan yang menggunakan gelombang radio di mana pada masa lalu cara perhubungan ini hanya tertumpu kepada individu tertentu sahaja. Tetapi pada masa kini, perkembangan radio telah mengalami kemajuan yang sangat moden dan kini kita lebih mengenali radio melalui stesen-stesen radio yang didengari setiap hari.

Bab 7.1 : EVOLUSI PENYIARAN RADIO

Pengasas kepada Radio ialah Guglielmo Marconi yang mana beliau merupakan tokoh terawal yang membuat kajian dan membuat ujikaji berkenaan dengan Radio. Tahun gemilang bagi Radio ialah antara tahun 1930 hingga 1950. Populariti radio pada zaman tersebut disebabkan bentuk hiburan yang ditawarkan meliputi muzik, drama dan program teater yang telah menarik ramai pendengar. Apabila program radio yang bukan berunsurkan muzik seperti drama dan teater beralih ke Televisyen maka program radio hanya tertumpu kepada program berunsurkan muzik untuk terus menarik minat para pendengar dan juga agar dapat mendatangkan pulangan kepada pihak syarikat.



Bab 7.2 : FORMAT STESEN RADIO

Semua Stesen Radio biasanya menyasarkan golongan pendengar tertentu yang dapat menghasilkan keuntungan dari sudut pengiklanan. Radio kontemporari yang dibangunkan pada asalnya hanya menumpukan pada genre muzik pop tetapi kini telah beralih kepada genre yang lebih pelbagai termasuklah genre country, rock dan yang lebih moden untuk menarik lebih ramai pendengar. Format Radio yang menggunakan Bahasa selain Bahasa Inggeris juga telah diperkenalkan seperti format Bahasa Latin untuk memenuhi citarasa pendengar.

Bab 7.3 : KESAN RADIO TERHADAP BUDAYA

Radio merupakan satu alat media massa yang unik disebabkan ia mempunyai potensi kepada sesiapa sahaja pendengar, termasuk golongan pendengar yang memunyai taraf pendidikan yang rendah. Berita radio pada tahun 1930an dan 1940an memberi kesan mendalam kepada emosi pendengar kerana peristiwa peperangan pada masa itu, namun ia juga memberi kesan positif dari sudut perpaduan penduduk. Radio telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan dan mempopularkan bintang muzik. Kesan-kesan program radio pada masa lalu dapat dilihat dalam aliran muzik moden dan juga dalam pelbagai rancangan televisyen.


Bab 7.4 : MASA DEPAN RADIO

Kemampuan radio sebagai sebuah perantara yang boleh diubahsuai mengikut keadaan membolehkannya dapat diselaraskan berdasarkan kepada keinginan pendengar dan juga pasaran semasa. Terdapat beberapa jenis perkhidmatan radio iaitu radio satelit yang merupakan perkhidmatan berbayar berdasarkan langganan pendengar dan radio HD pula merupakan perkhidmatan percuma kepada pendengar yang disediakan oleh stesen radio semasa. Radio juga boleh didengari pada masa kini melalui internet pada kadar bayaran yang berpatutan.

BAB 8 : FILEM : Adakah kesan 3-D akan menghasilkan Dua-Dimensi dalam Filem?

Bab 8 ini adalah berkaitan tentang bagaimana bermulanya industri perfileman di Amerika Syarikat yang telah melalui evolusi yang hebat, yang mana pada mulanya penonton hanya dapat melihat gambar bergerak tanpa suara tetapi akhirnya pada masa kini filem telah dihasilkan dalam bentuk yang lebih interaktif terutamanya dalam bentuk 3-D.

Bab 8.1 : SEJARAH FILEM

Konsep gambar bergerak pertama kali diperkenalkan kepada umum melalui ‘kinetoscope’ Thomas Edison pada tahun 1891. Di Amerika Syarikat industri filem dibangunkan sebagai sebuah entiti hiburan bermula dengan teater nickelodeon pada tahun 1910an. Penerbitan filem yang bertajuk “The Jazz Singer” pada tahun 1927 menandakan bermulanya pengeluaran filem yang mempunyai teknologi suara. Dalam tahun 1915, kebanyakan syarikat filem utama telah berpindah ke Hollywood. Semasa era emas Hollywood, syarikat filem utama tersebut mengawal semua aspek dalam industri perfileman dan menarik penonton yang sangat ramai dalam setiap filem yang dihasilkan. Penciptaan televisyen selepas perang dunia ke-2 dan juga pengenalan alat pemain video (VCR) pada tahun 1980an telah mengurangkan bilangan penonton yang datang pawagam untuk menonton filem. Tetapi pada masa yang sama ia telah membuka satu pasaran baru dalam industri filem terutamanya kepada penonton yang lebih gemar menonton filem di rumah. Kemajuan dalam teknologi animasi komputer telah melahirkan banyak filem yang menggunakan kesan-kesan khas dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Bab 8.2 : FILEM DAN BUDAYA

Biasanya setiap filem yang dihasilkan mencerminkan budaya, trend dan juga kebimbangan terhadap sesuatu isu. Selepas kegagalan pihak Amerika Syarikat dalam ‘Perang Vietnam’, filem-filem tentang peperangan yang dihasilkan mencerminkan pendapat yang lebih pelbagai berkenaan isu peperangan. Ini menunjukkan filem berupaya membentuk sikap dan adat kebiasaan sesebuah golongan apabila penonton mengikut sikap dan gaya watak pelakon dalam filem tersebut. Kadangkala pembuat filem atau pengarah filem turut menggunakan filem yang hasilkan itu untuk mempengaruhi sikap serta budaya penonton terhadap isu-isu tertentu.

Bab 8.3 : ISU-ISU DAN HALUAN  FILEM

Prestasi sesebuah filem dalam box office selalunya dikaitkan dengan peranan sesebuah studio yang menerbitkan filem tersebut di mana peruntukan untuk mengeluarkan filem tersebut amat penting tertutamanya dari sudut pemasaran. Disebabkan kos pengeluaran dan kos pemasaran filem yang tinggi, sesetengah syarikat perfileman yang besar bergantung kepada keuntungan yang diperolehi dari filem-filem berimpak tinggi bagi membolehkan syarikat tersebut terus dapat bersaing dalam dunia perfileman.Dari sudut globalisasi dan teknologi yang serba canggih ini juga telah menyebabkan berlakunya kemajuan dalam teknologi perfileman digital dan kemudahan tayangan filem secara dalam talian, yang telah mewujudkan satu isu besar dalam industri perfileman iaitu isu cetak rompak. Masalah ini merupakan satu masalah besar yang perlu dihadapi oleh syarikat-syarikat perfileman.

Bab 8.4 : PENGARUH TEKNOLOGI BARU

Kemunculan Video Cassete Recorder (VCR) atau Perakam Kaset Video akhir tahun 1970an telah memudahkan aktiviti menonton filem di rumah. Alat VCR telah digantikan dengan alat yang lebih moden iaitu DVD atau Digital Video Disc akhir tahun 1990an. Pada masa kini teknologi tersebut telah berkembang luas dan  pengunaan Cakera Blu-ray telah diperluaskan.Jualan dan sewaan DVD merupakan penyumbang utama kepada pendapatan sesebuah filem. Terdapat sesetengah filem dikeluarkan secara terus untuk tontonan umum dalam bentuk format DVD  tanpa ditayangkan di pawagam. Filem Star Wars Episode II: Attack of the clones (2002) merupakan filem skala besar yang pertama dirakamkan dalam bentuk digital. Sejak dari itu, banyak lagi filem yang telah dikeluarkan secara digital untuk memenuhi permintaan penonton seiring dengan kemajuan teknologi semasa.

BAB 9 : TELEVISYEN : Memikirkan Semula Penyampaian Sesuatu Kandungan

Televisyen merupakan satu ciptaan yang telah mengubah corak hidup manusia terutamanya dari sudut sosial dan budaya. Televisyen bukan sahaja penting dalam menyampaikan berita dan isu semasa sepertimana dalam zaman Perang Dunia Ke-2 pada masa tersebut, tetapi evolusi televisyen yang berlaku menyebabkan peranannya meliputi pelbagai aspek terutama dalam memberi hiburan kepada para penonton mengikut cita rasa mereka sendiri.


Bab 9.1 : EVOLUSI TELEVISYEN

Terdapat dua pembanguan teknologi pada lewat tahun 1800an yang memainkan peranan penting dalam kemunculan dan evolusi televisyen iaitu teknologi tiub sinar katod dan juga cakera pengimbas. Tiub sinar katod dicipta oleh ahli fizik dari Jerman iaitu Ferdinand Braun pada tahun 1897. Sementara itu cakera pengimbas pula dicipta oleh pencipta dari Jerman iaitu Paul Nipkow dan kedua-dua teknologi ini amat penting dalam kemunculan televisyen sehingga hari ini.

Bab 9.2 : HUBUNGAN ANTARA TELEVISYEN DAN BUDAYA.

Penggunaan televisyen telah mula popular selepas berlakunya Perang Dunia ke-2 dan telah mempengaruhi budaya masyarakat sejak dari itu. Semasa tahun 1950an, kebanyakan program televisyen mengabaikan peristiwa semasa dan isu politik tetapi lebih tertarik kepada rancangan berkaitan kekeluargaan seperti rancangan komedi tempatan.Pada tahun 1980an, peningkatan dalam popularliti televisyen kabel telah berlaku dan menyebabkan siaran berbentuk berita dan hiburan telah ditebitkan dan muncul secara mendadak. Pada tahun 1990an dan juga awal tahun 2000  pula, rancangan televisyen lebih dikhususkan untuk memenuhi permintaan penonton yang datang dari pelbagai golongan.Televisyen mencerminkan nilai budaya masyarakat atau penonton itu sendiri dan juga boleh mempengaruhi sesuatu budaya tersebut. contohnya kepelbagaian dalam berita televisyen di mana berita yang disampaikan bukan lagi secara berpusat tetapi secara menyeluruh bagi memenuhi cita rasa kumpulan tersebut dan fahaman politik mereka. Selain itu rancangan-rancangan hiburan juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi budaya sesebuah masyarakat contohnya watak-watak dalam televisyen sering dijadikan idola dan ikutan masyarakat.

Bab 9.3 : ISU-ISU DAN HALUAN INDUSTRI TELEVISYEN.

Pada tahun 1950an, kos untuk menerbitkan satu rancangan televisyen meningkat disebabkan peningkatan jumlah masa rancangan-rancangan tersebut. Dalam menangani peningkatan kos tersebut pihak penaja telah memainkan peranan dengan membantu dalam membayar peningkatan kos penerbitan tersebut.Manakala bagi masyarakat yang kurang berkemampuan, kemudahan seperti televisyen awam telah diberikan kepada penduduk terutamanya yang tinggal di luar bandar dan tidak mampu membeli perkhidmatan televisyen berbayar. Perkhidmatan televisyen awam akan dibiayai oleh kerajaan pada masa itu walaupun wang yang disalurkan oleh pihak kerajaan semakin berkurangan. Namun bagi mengekalkan kewujudan televisyen awam, ia terpaksa beralih kepada syarikat pengiklanan untuk terus beroperasi walaupun perkhidmatan televisyen awam tidak berasaskan keuntungan.



 Bab 9.4 : PENGARUH TEKNOLOGI BARU

Media massa seperti televisyen  dapat bertahan walaupun selepas kemunculan dan ledakan teknologi baru iaitu Internet dan tidak seperti media massa yang lain, yang semakin jauh ketinggalan. Namun pengaruh internet terhadap televisyen tetap ada dalam pelbagai bentuk contohnya pengguna boleh menonton keseluruhan rancangan televisyen serta video klip artis tertentu dalam internet iaitu melalui laman web You Tube dan Hulu secara percuma sahaja. Walaubagaimanapun terdapat juga kesan positif perkembangan Internet kepada televisyen di mana melalui pengaruh internet televisyen menjadi lebih interaktif dan menghiburkan di mana kaedah tontonan secara tradisoinal digabungkan dengan kandungan yang ada dalam talian.


Di Sediakan oleh :  ADZIAH BINTI LAMBUN (YA2017-1332)

No comments:

Post a Comment

Chapter 13 - 16 :Ringkasan dan ulasan

BAB 13 : EKONOMI MEDIA MASSA Pada akhir abad ke-19, Andrew Carnegie mempunyai idea cemerlang untuk membeli bahan dan keluli pembuata...